Friday, August 12, 2005

PROSES REVOLUSI ISLAM (ulasan)

Alhamdulillah, ini adalah kali kedua saya membaca risalah ini, yang menghuraikan pandangan Syed Abu A'la Al-Maududi terhadap proses-proses ke arah mencapai Revolusi Islam bagi menegakkan Daulah dan Khilafah Islamiyyah di atas Manhaj Nubuwwah yakni di atas kaedah-kaedah yang telah dipraktikkan oleh Nabi Muhammad (Sollallahu 'Alaihi Wassalam). Bacaan kali pertama adalah untuk memahami secara umum dan bacaan yang kedua ialah untuk memahami secara khusus seterusnya menulis sedikit ulasan berdasarkan pemahaman saya.

Majoriti anggota pergerakan Islam sedunia bahkan sebahagian besar umat Islam menginginkan tertegaknya kembali Daulah Islamiyyah, namun tidak kesemua di antara mereka ini memahami dengan sebenar-benarnya apakah itu Daulah Islamiyyah dan bagaimanakah sebuah Daulah Islamiyyah itu boleh dilahirkan. Fenomena ini telah menyebabkan lahirnya banyak gerakan Islam yang masing-masing mempunyai orientasi pergerakan sendiri yang kadang kala saling bertentangan di antara satu sama lain. Tidak kurang juga yang mengisytiharkan kumpulan mereka sebagai gerakan Islam tetapi berjuang di atas prinsip nasionalisme,sosialisme dan lain-lain.

Adalah perlu difahami proses pembentukan/kelahiran sebuah Daulah Islamiyyah adalah proses yang bersifat fitrah, iaitu bermula dengan perubahan masyarakat bawahan melalui pembentukan jiwa, akhlak dan pemikiran mereka berasaskan Islam yang seterusnya akan membawa kepada pembentukan pemerintahan negara tersebut kepada pemerintahan yang berlandaskan Islam. Pembentukan Daulah Islamiyyah tidak seperti produk kilangan yang boleh dibina di atas kegagalan produk lain atau produk yang gagal boleh dipasarkan jika dijenamakan dengan jenama yang menepati citarasa pengguna.

Pembentukan Daulah Islamiyyah adalah seumpama yang diungkapkan di dalam ilmu mantiq, iaitu awalan menentukan akhiran. Sebuah pokok mangga tidak mungkin ditumbuhkan daripada biji sawit ataupun pokok kelapa tidak mungkin akan membuahkan limau. Begitu jugalah dengan Daulah Islamiyyah. Ini kerana, Daulah Islamiyyah adalah sebuah Daulah Fikriyyah iaitu pemerintahan/negara yang berasaskan idealogi yang mempunyai prinsip dan matlamat yang jelas dengan meminggirkan faktor-faktor bangsa/ras/kaum dan faktor-faktor kasta/keluarga daripada mempengaruhi prinsip dan matlamat tersebut.

Di dalam sejarah dunia, telah diperlihatkan beberapa cubaan untuk membentuk negara idealogi tetapi gagal akibat pengaruh faktor-faktor nasionalis seumpama di Perancis (revolusi perancis) dan Rusia (pembentukan negara komunisme). Hanya Islam sahaja yang mampu mempertahankan negara yang berteraskan idealogi selama beberapa kurun sebelum jatuh akibat kegelapan nasionalisme. Terdapat juga beberapa muslim nasionalis-sekular pada hari ini yang tanpa segan silu mengaku mendirikan Daulah Islamiyyah dan menggunakan istilah-istilah seumpama ummah,jamaah,daulah,addeen,amir dan sebagainya tetapi memerintah tanpa berlandaskan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Di dalam prinsip Daulah Islamiyyah, hakim tertinggi ialah Allah dan Rasul-Nya yakni Al-Qur'an dan As-Sunnah. Manusia hanyalah selaku khalifah dan tidak berhak menghukum tanpa merujuk kepada Al-Qur'an dan As-Sunnah. Jabatan-jabatan di dalam Daulah Islamiyyah tidak berhak untuk diisikan dengan orang-orang yang berfahaman sekular ataupun dilahirkan di dalam corak pendidikan sekular. Seorang menteri di dalam sebuah negara sekular tidak berhak untuk berkhidmat di dalam Daulah Islamiyyah hatta sebagai seorang kerani sekali pun tanpa melalui proses tarbiyyah Islamiyyah yang lengkap. Penjawat jawatan di dalam jabatan-jabatan Daulah Islamiyyah adalah terdiri daripada orang-orang yang telah ditarbiyyah secara khusus mengikut manhaj Islamiyyah dan tidak boleh dijawat oleh hamba-hamba syahwat, pengejar manfaat dan orang-orang yang tidak takut kepada Allah taala.

Proses pentarbiyahan seumpama inilah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah (sollahu 'alaihi wassalam) selama 13 tahun di dalam fasa makiyyah. Bagaimana penerapan dan implementasi terhadap prinsip-prinsip Islam sebagai cara hidup telah dipraktikkan dan dipertontonkan oleh baginda dan para sahabat secara langsung kepada masyarakat musyrik Makkah. Hasilnya, ketika perang Badar al-Kubra, moral (semangat juang) orang musyrikin Quraisy luntur apabila mengenangkan peribadi umat Islam yang amat mulia jika dibandingkan dengan mereka sehingga membawa kemenangan kepada tentera Islam.

Proses tarbiyyah yang berterusan sama ada tarbiyyah fikriyyah yang membentuk fikrah selama 13 tahun di Makkah dan tarbiyyah harakiyyah selama 10 tahun di Madinah inilah pada akhirnya melahirkan para Khulafa' Ar-Rasyidin dan sahabat yang menyumbang secara langsung dan tak langsung terhadap keberlangsungan Daulah Islamiyyah di muka bumi ini selama beberapa tahun sebelum digolakkan oleh tindakan-tindakan daripada sesetengah pihak yang mencemarkan kemuliaan Daulah Islamiyyah. Benarlah kata-kata saidina Ali (karramallahu wajhah) apabila ditanya oleh orang mengapa zaman pemerintahan beliau, yang mana suasana ketika itu bergolak dengan pelbagai masalah berbeza dengan zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar,maka Saidina Ali menjawab "Ketika itu rakyatnya adalah orang-orang seperti aku, tetapi ketika ini rakyatnya adalah orang-orang seperti kamu".

Sejarah telah membuktikan, sekiranya hendak ditegakkan kembali Daulah Islamiyyah maka ianya hendaklah dimulakan dengan perubahan pemikiran dan sosial masyarakat umum sebelum mengubah pemerintah. Ini kerana ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, walaupun pelbagai perubahan terlah dilaksanakan namun ianya tidak dapat dikekalkan kerana yang berubah hanyalah jentera kerajaan bukannya orang-orang yang menjawat jabatan-jabatan dan rakyat.Begitu juga ketika pemerintahan Khalifah Al-Ma'mun, Muhammad Tughluq dan Aurangzeb yang mana rakyat tidak bersedia atau disediakan untuk menerima perubahan-perubahan yang mereka cuba laksanakan menyebabkan ianya tidak berhasil atau terbantut.

Oleh itu, perubahan ataupun revolusi yang perlu didahulukan ialah para aqidah, pemikiran dan kehidupan sosial masyarakat agar apabila Islam itu kembali memerintah, masyarakat sudah bersedia untuk menerima Islam sebagai jalan kehidupan dan kematian mereka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home